Khamis, 29 April 2010

Inna Lillahi wa inna ilayhi raji'un

Aku tidak tahu mengapa tetapi suasana sepi itu mengundang rasa sedih di dalam hatiku. Kulihat anak perempuanku menangis teresak-esak. Suami dan ibuku duduk menunduk wajah yang sugul. Di sekeliling mereka bertiga, rakan-rakanku dan jiran turut hadir. Semuanya mempunyai gaya masing-masing. Namun gaya mereka semua bersatu atas satu perkataan. Sedih.

Tiba-tiba aku rasa takut.


Seakan-akan suasana itu meragut jiwaku.


“Semoga ALLAH rahmati arwah” Kak Siah berkata dalam keadaan matanya yang kemerahan.

Arwah?

Ada orang meninggal kah?

Tiba-tiba aku nampak wajah Ayu, sahabat karibku. Wajahnya pucat lesu. Kenapa? Dia kaku sahaja tanpa suara. Matanya terpejam.

Adakah….

****
Aku memandang wajah Ayu. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang kelihatan dalam mimpiku. Wajahnya kini hidup, ceria, penuh cahaya. Wajah yang aku tidak pernah rasa sugul bila memandangnya. Namun hari ini, keresahan aku tidak hilang dengan memandang wajah bersih itu. Malah, semakin bertambah gelisah.

“Ni kenapa gaya nak makan orang? Angin Timur Barat?” Ayu tersenyum-senyum.

“Jalan pandang depan la” Aku memuncungkan bibir ke hadapan, ke arah jalan raya. Kami kini sedang berada di hadapan sebuah pasaraya yang menjadi tumpuan ramai. Ada jalan raya yang besar untuk kami lintasi.

Suamiku sentiasa berpesan agar berhati-hati kerana orang biasanya memandu dengan laju bila lampu isyarat bertukar kuning. Kadangkala, kita tidak dapat menjangka sikap tidak sabar pemandu bila berada di jalanraya. Menggerunkan.

“Uih, garangnya. Mood awak tak baik?” Ayu terus melangkah.

Tiba-tiba mataku terpandang sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan laju mengejar lampu isyarat.

Pantas wajah pucat Ayu dalam mimpiku menjengah. Kata-kata suamiku mengetuk kepala.

Arwah…

“Ayu!” Aku terus mencapai lengannya, menarik Ayu ke belakang semula. Kereta tadi terus bergerak membelah jalan raya.

“Kau nak mati ke? Jalan tak pandang kiri kanan?” Aku meninggi suara. Dapat kurasa wajahku tegang. Dada berdegup kencang. Bukan marah, tapi…

Ayu angkat kening. “Kau ni kenapa? Siapa tak nampak kereta tadi? Aku bukan nak melintas jalan raya. Aku baru je nak melangkah nak berdiri tepi jalan raya. Macam tak biasa pulak.”

Aku diam. Tadi, dia bukan nak melintas ke?

“Kau ni, sayang aku terlebih ni” Ayu ketawa kecil.

Muka aku merah. Aku terasa macam aku ini orang bodoh pula.

“Aku risau” Aku menjawab tanpa memandang wajah Ayu. Jalan raya sedang dipenuhi kenderaan yang lalu lalang. Kami masih belum ada peluang untuk melintas.

“Risau? Terharu sih” Ayu memaut bahuku dengan lengannya. Dia masih ketawa.

Aku diam sahaja. Mana aku tak risau? Aku mimpi kau mati!

Tidak lama kemudian, kami mendapat peluang melintas jalan. Ayu melangkah dahulu. Aku pantas bergerak agar langkah kami seiring. Pantas tangan kananku memegang tangan Ayu, memimpinnya seperti memimpin anak kecil melintas jalan.

Sampai sahaja di pintu masuk pasaraya, aku perasan Ayu memandangku. Tapi aku senyap sahaja. Beberapa orang di tepi jalan tersenyum-senyum memandang kami. Nampak pelik kah perempuan baya aku berpimpin tangan dengan kawan perempuannya?

“Kau tak sihat?” Suara Ayu agak kerisauan dengarnya.

Aku melepaskan tangannya semasa melepasi pintu masuk. Geleng kepala.

Aku perlu bagitahu kah mimpi aku?

“Kalau kau ada masalah, bagitahu aku”

Ayu, memang sahabat yang baik. Sahabat aku yang terbaik. Tapi sekarang, bukan aku yang bermasalah. Masalahnya adalah kau, Ayu. Aku rasa macam kau akan ditarik pergi. Aku tidak mahu kau pergi!

“Tiada apa-apa”

Ayu tersenyum semula. Wajah cerianya kembali bercahaya. “Kau tengah gaduh dengan suami ke?” Tangannya mencuit pinggangku.

“Banyak la kau”

****

Orang kata, kalau ada manusia nak dekat mati, biasanya dia akan ada tanda-tandanya. Tapi, selalunya tanda itu tidak akan kita perasan, melainkan selepas dia mati. Contoh yang biasa didengari adalah seperti ajak makan makanan kegemaran tapi dia makan tak habis. Contoh lain yang biasa aku dengar, arwah akan sering berkata berkenaan mati sebelum kematiannya.

“Agak-agak, umur kita ni berapa panjang lagi?”

Hampir tersembur air yang sedang kuteguk. Terkejut. Aku membesarkan mata, memandang Ayu.

“Mati-mati jangan sebut lah” Aku menegur.

Ayu tersengih. “Kenapa pulak? Mati tu bila-bila. Apa salahnya ingat mati. Mati selalu ingat kita”

Aku menghela nafas. Betul. Malah, mengingati mati adalah antara pencuci kekaratan di dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi” Sahabat-sahabat pun bertanya bagaimana untuk membersihkannya. Rasulullah SAW menjawab: “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”

“Tak ada la, hilang keindahan pagi ni” Aku memberikan alasan. Kemudian memandang mentari pagi yang redup di sebalik awan.

“Kalau aku mati, macam mana agaknya kau?” Soalan itu, mengundang pusingan pantas dari kepalaku. Pantas aku mecubit lengannya.

“Aduh, kenapa?” Ayu menggosok-gosok lengannya. Memandang aku dengan kehairanan.

“Degil ya. Kan aku dah cakap jangan rosakkan mood pagi ni” Aku cuba bergaya selamba.

Ayu mencemikkan muka, kemudian terus menyambung minum paginya.

Suasana senyap sebentar. Aku terus menghabiskan air. Cawan kuletakkan. Ayu tekun dengan makanannya. Aku rasa bersalah pula.

“Kalau kau tak ada…” Perlahan-lahan aku bersuara.

Ayu mengangkat kepala. Mata kami bertentang. Suasana senyap kembali. Kemudian Ayu mengangkat kening, isyarat agar aku meneruskan kata-kata.

“Aku akan rasa amat amat amat sedih” Suaraku perlahan.

Perlahan-lahan senyuman Ayu terukir.

“Kenapa? Lawak ke?”

“Terharu lah”

“Banyak la kau punya terharu”

“Aku saje je nak tengok kau sayang aku tak” Ayu angkat kening dua kali. Kemudian dengan selamba meneruskan sarapan.

“Ceh” Buat aku risau aje. Aku memandang langit kembali.
Adakah hidup akan sentiasa cerah seperti keadaan sekarang?

****

Hah!

Aku terbangun lagi. Mimpi itu datang lagi. Wajah teman-teman yang sugul, ada yang menangis, ucapan suamiku dan berakhir dengan wajah Ayu yang terpejam kehilangan seri.

Aku beristighfar berulang kali. MasyaALLAH… Perasaan takut menyerang.

Tubuhku rasa hangat. Kusentuh dahi, terasa basah. Aku berpeluh.

Semakin lama, aku terasa seakan-akan mimpiku akan menjadi kenyataan.

Mimpi yang sama datang dan datang lagi.

Ya ALLAH…

Kulihat jam pada telefon bimbit. 2.45 pagi. Aku terus bangun dan menuju ke tandas. Gosok gigi, dan membasuh muka. Kemudiannya aku mengambil wudhu’. Aku hendak solat tahajjud.

Semalam, Ayu mengadu kepadaku bahawa dia sakit. Dia rasa lemah-lemah badan. Hidung pula sentiasa berdarah.

Aku amat risau. Dia telah berjumpa doktor pada waktu malam, tetapi doktor hanya berkata bahawa itu keadaan biasa apabila perubahan cuaca. Memang biasanya pada musim panas, badan akan terasa lebih lemah dan kadangkala untuk beberapa orang, darah akan keluar dari hidung.

Keterangan doktor tidak membuatkan aku lega. Mungkin aku juga akan menganggap ini biasa, kalau aku tidak didatangi mimpi aneh itu. Tapi, setelah berulang kali mimpi itu hadir, aku rasa teramat risau. Adakah pemergian Ayu memang tidak dapat dielakkan? Adakah mimpi aku itu, benar-benar satu kepastian?

Aku menangis dalam sujudku.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAUlah yang menguasai nyawa, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu!

****

Aku, memang amat sayang dengan Ayu. Sayang kerana ALLAH. Ukhuwwahfillah. Seluruh kehidupan ini sebenarnya perlu berada di dalam ISLAM. Hal ini kerana, ISLAM itu syumul, meliputi segala perkara. Semua itu aku fahami dan begitu juga Ayu. Perlahan-lahan, dia menjadi kawan baikku kerana persefahaman tersebut.

“Ni kenapa tengok aku macam aku dah nak mati je ni?” Ayu memandang kepadaku.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Perkataan ‘mati’ membuatkan aku sedikit rasa tidak senang.

“Kau sakit, aku tengok-tengokkan la” Aku menjawab selamba.

Ayu tersenyum. “Kut la nak ubatkan”

“Aku bukan doktor lah”

“kawan boleh jadi penawar pada kawannya”

Kata-kata Ayu mengoyak sengihku. “Masalahnya, kalau bab sakit macam kau ni, kawan tak boleh nak ubatkan. Doktor la kena bagi ubat”

Ayu menggeleng. “Kawan, boleh beri harapan kepada pesakit macam aku ni, untuk menjalani ujian sakit itu dengan penuh keimanan”

Aku tersenyum. Ada-ada sahaja. Tak mahu kalah juga.

“Jadi, bersabarlah kau dengan ujian ni. Ini baru sakit sikit. Kemungkinan, ALLAH akan uji dengan benda yang lebih besar”

“Apa agaknya benda yang lebih besar tu?”

“Aku kahwin dengan orang yang kau suka”

Terkeluar tawa kami berdua.

“Berani la” Ayu menunjuk penumbuk.

“Just a joke”

Ayu mengangguk. Aku tahu, dia faham. Kami bukan sekali dua bergurau. Entah, sudah kali ke berapa ribu kami bercanda. Kadang-kadang, tanpa bersuara pun, aku seakan dapat menjangka perasaannya, dan dia pula seakan dapat menjangka keadaan aku.

“Aku rasa, aku dah hampir sihat dah ni” Ayu memegang dahinya.

“Kau rehat cukup, okaylah kut”

“Darah pun dah tak keluar dah sehari dua ni”

“Esok boleh pergi kerja”

“Kau mesti sepi pergi kerja sorang-sorang”

“Bajet macam aku ni jiwang plak”

“Ha ha…”

Senyap sebentar selepas itu. Tiga hari ini, aku sering berlang alik ke rumahnya.

“Tapi, memang sepi pun tak ada kau”

“Ha… tau tak pa!”

“Banyak la” Aku menolak Ayu. Kami ketawa lagi. Nampaknya, Ayu memang benar-benar sihat.

Aku rasa lega.

Mungkin, mimpi aku itu hanya mainan sahaja.

Mungkin, aku ini terlalu banyak fikir.

“Hei Ayu” Aku memandang Ayu. Mata kami bertemu.

“Em?” Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan.

Aku cintakan kamu kerana ALLAH sangat-sangat.

Ayu senyap sebentar. Kemudian ketawa.

Aku hairan. Kenapa?

“Kau memang dah jadi kawan jiwang seh. Gaya macam nak tinggal aku jauh je”

Aku tersengih. Aku yang takut kau tinggal aku jauh. Aku yang tak mahu kau pergi jauh tinggalkan aku.

Kemudian tawa Ayu mengendur. Dia memandang aku.

Aku cintakan kamu kerana ALLAH juga.

Aku tersenyum.

Hati lapang.

****

Aku terbangun.

Aku tidak tahu sama ada aku patut tersenyum, atau terus bimbang.

Aku bermimpi mimpi yang sama. Tetapi, mimpiku bertambah. Semuanya sama, hingga ketika wajah pucat Ayu yang terpejam matanya. Namun, kali ini, sebelum berakhir, mata Ayu yang terpejam itu, terbuka, dengan mata yang bergenang.

Adakah ini tandanya, dia tidak akan mati?

Ataupun, adakah ini tandanya, Ayu hanya berada dalam kesedihan?

Aku tidak tahu.

Ya ALLAH, lapangkanlah kehidupan sahabatku Ayu, permudahkan segala urusannya, ampunkan segala dosa-dosanya….

Aku berdoa.

Semoga ALLAH pelihara sahabatku Ayu.

Sekurang-kurangnya, dalam diriku sekarang, ada perasaan bahawa, Ayu tidak akan pergi meninggalkan aku.

Tapi…

****

Kehidupanku seakan kembali seperti biasa. Pergi ke tempat kerja bersama sahabat tercinta, Ayu.

Pagi tadi, selepas bersarapan, aku teringat akan ibuku. Aku bersembang lama juga. Sempat berkirim salam kepada semua keluarga. Agak lama juga tidak menghubungi mereka.

“Ni kenapa muka macam orang baru kahwin ni?”

Aku tersengih. Sebab aku senang hati. Aku dapat telefon ibuku pada pagi hari, dan sahabatku kembali sihat. Malah, aku dapat rasa bahawa kerisauanku macam berterbangan hilang. Mungkin selepas aku kembalikan bahawa, hidup dan mati itu susunan ALLAH.

Semalam, sebelum tidur, aku bermuhasabah.

Mungkin, kalau benar mimpi-mimpi aku selama ini benar adalah tanda bahawa Ayu akan ditarik pergi, maka aku pun tidak akan mampu menghalang kehendak-Nya. Mati itu adalah urusan-Nya. Kita tidak boleh mengelak, jauh sekali hendak melarikan diri. Cuma, tugas kita adalah hidup dengan nyawa yang masih ada, dan cuba menjaga diri sebaik mungkin.

Setiap yang bernyawa akan mati. Tiada keraguan akan hal itu. Maka tidak perlu dipertikaikan. Pokok persoalan sekarang adalah, bagaimana kita menjalani kehidupan.

Dikejutkan mimpi semalam, aku solat tahajjud, solat taubat dan melakukan solat hajat. Aku mendoakan agar aku termasuk dari kalangan yang beriman dan diberi rezeki untuk masuk syurga. Aku berharap agar, aku termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat redha ALLAH. Aku juga mendoakan semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku. Semestinya, aku tidak lupa mendoakan sahabatku Ayu.

“Weh, jawab la. Mimpi jumpa bidadara syurga ke?” Ayu menolak bahuku.

Aku menggeleng. Aku mimpi kau hidup. “Mana ada apa-apa”

Aku terus berjalan. Ayu menepuk-nepuk belakang tubuhku. “Takpe…”

“Jangan ambil hati seh” Aku meniru ‘seh’ yang selalu diucapkannya.

“Aku ambil jantung je seh” Ayu membalas canda.

Kami ketawa.

Kami sampai di tepi jalan raya.

“Tak sibuk seh pagi ni”

Aku mengangguk. Walaupun ada kenderaan lalu lalang, tapi tidak sesibuk seperti biasa.

Ayu terus melintas. Aku mengikuti dari belakang.

Poooooooooonnnnn!!!!

Aku menoleh. Sebuah lori bergerak laju ke arah kami. Mataku membesar. Spontan aku menolak Ayu dengan kuat. Sahabatku itu terkeluar dari jalan raya.

Jarak lori denganku tidak lebih dari sedepa.

Ketika ini, keadaan sekeliling aku seakan menjadi perlahan. Aku sendiri jadi pelik. Aku sempat memandang Ayu yang hendak membuka mulut untuk menjerit.

Aku sempat pula teringat akan mimpiku.

Tangisan ahli rumah, kesugulan kenalan-kenalan, kata-kata suamiku, kemudian wajah pucat Ayu dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan mata bergenang.

Patutlah…

Aku tersenyum.

“Oh, rupanya bukan Ayu. Tetapi aku…”

Alhamdulillah. ALLAH Maha Besar. Ternyata ilmu berkenaan kematian ini tidak tersampai pada insan untuk menjangkanya.

BAM!

Seluruh alam macam berputar berulang kali.

Dan yang terakhir aku dengar adalah suara jeritan Ayu yang panjang, sebelum segalanya menjadi gelap, dan senyap.

ALLAH… Aku naik saksi bahawa tiada ILAH selainMU, dan Muhammad itu adalah RasulMU.

Ayu…

Aku yang pergi dahulu.

9 ulasan:

kakcikseroja berkata...

Aduhai.. suspen betul membaca cerpen ni.. Apa2pun, kematian itu sentiasa dekat dengan kita.. Cuma.. cukupkah persediaanku???

Abd Razak berkata...

Salam..

Mengingati mati itu adalah pekerjaan orang bijak, mengingatkan kita akan segala amalan yg perlu kita sediakan di dunia ini utk kita bawa pergi kelak..

cemomoi berkata...

aiseh ingat sapa mati tadiiii

Nida berkata...

nasib baik tak sempat airmata ni tumpah... tapi cerita ni memang mensuspenkan

Werdah berkata...

Salam Acik.

Kematian! Setiap yang hidup pasti memasukinya. Namun masalah yang serius ialah apakah yang terjadi selepas kematian itu sendiri. Apakah yang menanti sebuah kematian itu adalah sebuah taman yang di dalamnya mengalir sungai-sungai serta kenikmatan yang banyak ataupun sebuah tempat yang di dalamnya api yang bergejolak serta makanan daripada buah zakkum.

"Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka". (Al-Qamar [48] : 48)

Orang yang rindu kepada kematian akan bersiap sedia dengan bekalan. Betapa tidak! kerana dia yakin akan bertemu dengan Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. (7) Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. / (8) (Al-Baiyyinah [98] : 7 -8)

Sungguh! suspen cerpen ini..

anismi berkata...

Salam,

dok baca-baca cerita..ingatkan kisah benar....suspen betul....

maiyah berkata...

menarik bingkisan ni..

Acik berkata...

To kakciks..
hi..hi..hi.. sedih tak? Masa tulis tu saya andaikan diri adalah watak tersebut...

To Abd Razak..
Salam.. mati itu pasti, hidup insyaAllah. Semoga kita semua dpt meningkatkan amalan utk bekal di sana..

To cemomoi..
he..he..he..bayangkan saya yg mati.

To Nida..
kalau airmata bisa menyedarkan kita dgn kematian, biarkanlah ia mengalir..

To kak werdah..
salam..semoga kita tergolong dlm golongan org yg beriman dan beramal soleh.

To anismi..
salam.. belum jd benar lg.

To maiyah..
sedih tak? Andai saya yg pergi...

izahdaut berkata...

salam acik..suspen betul cerpen ni..pandai menulis..dan kematian itu benar..

mengingati mati bermakna kita ada hati..dalam mencari hati yang suci ialah mengingati mati..